pemimpin umno pun x caye tv3

Menteri Besar Datuk Ahmad Said membidas TV3 pada persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu hari ini kerana menyiarkan laporan tidak tepat semalam dan mendakwa ada individu di negeri itu yang menggunakan stesen televisyen swasta itu untuk memburukkan nama beliau.

Katanya stesen televisyen swasta itu mempunyai niat jahat terhadap beliau termasuk semasa krisis pelantikannya sebagai Menteri Besar dahulu.

"...dan semalam TV3 menyiarkan berita yang menyatakan saya akan menutup Golden Pharos (anak syarikat kerajaan terengganu). Ini yang buat saya sedih. TV3 buat saya macam itu mungkin dia ada agenda," katanya semasa menjawab soalan Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi (PAS-Batu Burok) mengenai kedudukan anak syarikat kerajaan negeri.

Dalam slot Buletin Utama semalam, TV3 menyiarkan kenyataan Ahmad bahawa tiga anak syarikat kerajaan Terengganu iaitu Golden Pharos Berhad, Permint Sutera Semai Sdn Bhd dan Syarikat Percetakan Yayasan Islam Terengganu Sdn Bhd akan ditutup.

Ahmad, yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Kijal, berkata bahawa semasa krisis pelantikannya sebagai Menteri Besar, TV3 menyiarkan berita bahawa beliau disiasat oleh Badan Pencegah Rasuah (BPR).

"Mula-mula dia siar berita Majlis Penasihat Pemangku Raja keluar kenyataan Ahmad Said dipilih sebagai Menteri Besar Terengganu. Kemudian, dalam berita akhir, TV3 keluar berita Adun Kijal disiasat BPR.

"Dua hari selepas Majlis Tertinggi Umno mengesahkan saya Menteri Besar Terengganu, TV3 keluar lagi berita-berita mengenai saya. Saya beri amaran, jika keluar lagi berita memburukkan saya, saya akan saman TV3," katanya.

Ahmad berkata beliau mendapat tahu ada individu di Terengganu yang menyalurkan maklumat kepada TV3 untuk disiarkan bagi memfitnahnya.

"Saya tidak mahu bertindak sekarang. Tetapi jika terpaksa, saya akan bongkarkan satu persatu, tidak kira siapa. Saya tegaskan di sini, sesiapa yang melakukan penyelewengan di bumi Terengganu, saya akan bertindak," katanya.

Satu kenyataan yang dikeluarkan Pejabat Menteri Besar Terengganu bagi menjelaskan perkara itu menyatakan bahawa Ahmad cuma menyebut beberapa contoh anak syarikat yang mengalami kerugian dan menyatakan bahawa kemungkinan anak syarikat yang tidak menghasilkan keuntungan untuk jangka masa yang terlalu lama akan ditutup.

Persidangan dewan ditangguhkan ke satu tarikh yang akan ditetapkan kelak.
0 Responses

Post a Comment