Kalau dahulu tindakan Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Najib Tun Razak membentang pakej ransangan ekonomi bernilai RM7 bilion dianggap menghina Parlimen, Jumaat lalu Tun Dr Mahathir Mohamad pula meremehkan pakej tersebut.
Iklan | |
| |
| |
Malaysian Insider melaporkan, bekas Perdana Menteri menolak pakej rangsangan RM7 bilion itu sambil berkata, dengan membelanjakan beberapa bilion ringgit sahaja tidak akan membawa kesan dalam menghadapi kelembapan ekonomi.
Kenyataan itu dilihat sebagai memperlekehkan kebolehan Najib untuk menghadapi krisis ekonomi.
Kepada Dr Mahathir, pakej RM7 bilion Najib itu tidak seberapa adan tidak mencukupi untuk menangani masalah-masalah yang akan dihadapi negara ini.
Sebelum ini, beliau yang menyifatkan Najib tidak cekap menyatakan ketidakyakinannya kepada kemampuan Najib menghadapi cabaran berikutan kemelesetan ekonomi global
"Saya tidak yakin (bakal Presiden Amerika Syarikat, Barack) Obama (mampu kemelesetan ekonomi global), dan bagaimana pula Najib? Kerana ini terlalu besar untuk Najib. Terlalu besar untuk Obama," kata bekas Perdana Menteri.
Bukan sekadar dalam bidang ekonomi, malah dalam bidang politik pun Dr Mahathir tidak yakin kepada Najib yang disifatkannya tidak menunjukkan sebarang kekuatan dalam bidang politik.
Najib juga, katanya, lebih bersifat seorang pengikut dari seorang pemimpin.
Beliau berkata demikian dalam temubual khas dengan Riz Khan dari stesen TV Al-Jazeera.
Pandangan tersebut adalah lanjutan dari pelbagai pandangan negatif bekas Perdana Menteri itu terhadap Najib yang dijangka akan menjadi Perdana Menteri tidak lama selepas beliau disahkan sebagai Presiden Umno Mac ini.
Sebelum ini, Dr Mahathir menyatakan beliau tidak yakin peralihan kuasa di dalam Umno akan memulihkan parti itu.
Beliau tidak yakin gejala rasuah dan politik wang dalam Umno dapat dibendung meskipun Najib Tun Razak bakal menjadi Perdana Menteri dan Presiden Umno.
"Apakah dengan peralihan kuasa itu dapat memulihkan parti? Saya tidak boleh yakin lagi kerana saya belum lagi nampak Najib mampu menyelesaikan masalah rasuah dan politik wang," katanya.
Bekas Presiden Umno itu berkata, gejala itu agak sukar dikawal kerana rasuah telah menjadi satu budaya di kalangan ahli-ahli Umno yang mahukan sesuatu jawatan terutamanya menjelang perhimpunan Agung Umno pada Mac depan.
Dr Mahathir juga menganggap peralihan kuasa adalah sia-sia apabila Najib menyatakan beliau mahu meneruskan polisi-polisi yang dilaksanakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.
"Najib menyatakan bahawa beliau akan meneruskan Islam Hadhari. Ini bukan petanda yang baik kerana ia menunjukkan peralihan yang berlaku hanya peralihan bentuk tubuh badan sahaja, bukan polisi-polisi.
"Para pengundi tidak suka polisi-polisi yang dibawa oleh Abdullah, oleh itu mereka akan terus menolak Umno. Oleh itu, peralihan itu sia-sia sahaja," The Star memetik beliau berkata.
Dr Mahathir bukan sahaja berkali-kali menyatakan ketidakyakinannya kepada Najib, malah beliau menyifatkan bakal pewaris takhta Umno itu sebagai Timbalan Perdana Menteri yang tidak cekap kerana tidak mempunyai pendirian sendiri dan sering mengikut kata Perdana Menteri.
Malaysiakini pernah melaporkan Dr Mahathir menganggap Najib "lemah dan pengecut". Dari pendedahan Dr Mahathir juga, Malaysiakini melaporkan Najib dibayangi "budak-budak Tingkat Empat (Jabatan Perdana Menteri)".
Ketika membentangkan pakej ransangan RM7 bilion itu sebelum ini, Penasihat DAP, Lim Kit Siang menyifatkan Najib melakukan penghinaan besar ke atas institusi Parlimen apabila Menteri Kewangan itu tidak mematuhi prosedur Parlimen yang betul.
Ketua Pemuda PAS, Salahuddin Ayub pula kesal apabila tindakan Najib itu bukan sahaja dibiarkan malah dipertahankan sedangkan perkara itu bukan sahaja sesuatu yang tidak pernah berlaku sebelum ini malah bercanggah dengan pearuran Dewan Rakyat.
Ketika beliau sepatutnya menggulung perbahasan Bajet 2009, Najib tiba-tiba membentangkan pakej dorongan ekonomi bernilai RM7 bilion.
Tindakannya itu mencetuskan kekecohan di Dewan Rakyat apabila ahli-ahli Parlimen Pakatan Rakyat (PR) memprotes tindakan itu yang menurut mereka bertentangan dengan perkara 66(15) peraturan Parlimen._